Friday, December 30, 2011

PEMBUANGAN BAYI




 Kes pembuangan bayi yang berlaku dianggap angkara orang yang tidak bertanggungjawab. Kes pembuangan bayi kerap berlaku dalam kalangan masyarakat yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Anggaran kes pembuangan bayi yang dilaporkan di televisyen,kira-kira 7 kes dalam sehari. Mayat-mayat bayi yang dibuang kerap ditemui di tong sampah , stesen bas dan teksi , serta di tepi-tepi longkang.Masalah ini kian membimbangkan masyarakat.Masyarakat perlu mengenalpasti punca-punca berlakunya kes pembuangan bayi. Oleh sebab itu , langkah-langkah untuk menangani masalah pembuangan bayi  perlu diambil oleh semua pihak.(81 p.p )

 Remaja sering menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa. Para remaja cuba mengambil kesempatan atas sikap keterbukaan yang diamalkan oleh ibu bapa. Remaja menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa dengan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.Remaja melakukan perkara negatif seperti hubungan seks luar nikah sehingga menyebabkan mereka hamil.Buktinya,pengalaman seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian menunjukkan kebebasan tanpa pengawasan ibu bapa menyebabkan mereka bebas melakukan aktiviti negatif. Di samping tinggal di luar kampus mereka bebas melakukan apa – apa sahaja tanpa pengawasan ibu bapa. Kesan daripada kehamilan luar nikah menyebabkan pembuangan bayi berlaku. kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa sememangnya menjadi sebab peningkatan pembuangan bayi.

 Pembuangan bayi berpunca daripada sikap masyarakat yang kurang mengamalkan ajaran agama. Para remaja yang tidak mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan menyebabkan mereka terlibat dengan kes pembuangan bayi. Statistik menunjukkan majoriti pesalah pembuangan bayi melibatkan remaja kaum melayu berbanding dengan kaum lain. Para remaja kurang memahami konsep dosa dan pahala sehingga mereka sanggup terlibat dengan kes pembuangan bayi.Konsep agama sebagai pendinding gejala sosial seperti kes  pembuangan bayi kurang diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.Amalan agama seperti membaca Al-Quran,solat dan puasa dapat menghalang seseorang daripada melakukan maksiat. Namun demikian, kehidupan para remaja yang berlandaskan nafsu dan mementingkan keseronokan, sehingga menyebabkan mereka kurang mengamalkan ajaran agama.Para remaja yang kurang mempraktikkan amalan agama dalam kehidupan akan mengambil tindakan yang salah sehingga sanggup membuang bayi mereka.
Sikap masyarakat yang gemar memandang serong terhadap golongan remaja yang terlanjur menjadi alasan gadis yang terlanjur membuang bayi. Sememangnya masyarakat akan memandang sinis terhadap mereka kerana mereka telah melakukan perkara yang terkutuk di sisi agama dan norma masyarakat. Keluarga gadis yang hamil akan disisihkan dan dimalukan apabila anak gadis mereka menconteng arang di muka mereka. Ibu bapa yang tidak memahami masalah yang ditanggung oleh gadis tersebut menyebabkan gadis tersebut tertekan dan bertindak di luar kewarasan dengan membuang bayinya.

 Mata pelajaran sains dan biologi boleh dijadikan fokus untuk menyampaikan pendidikan tentang seks. Pembelajaran tentang pembiakan biologi , psikologi dan seksologi dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kesan melakukan seks sebelum kahwin ataupun selepas kahwin. Pengetahuan tentang seks amat penting bagi membendung masalah keterlanjuran dalam kalangan masyarakat. Oleh itu , masyarakat akan lebih mengetahui tentang kesan melakukan seks bebas terhadap diri sendiri. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih prihatin untuk menjaga maruah diri sendiri terutamanya wanita.

 Kempen secara besar-besaran juga harus diadakan. Kempen yang dijalankan oleh badan-badan kerajaan dan juga bukan kerajaan dapat menjadikan masyarakat lebih prihatin tentang persekitaraan mereka. Kempen ini bertujuan untuk memupuk sikap saling tegur-menegur dalam kalangan masyarakat tidak kira bangsa mahupun agama. Masyarakat harus menegur sesiapa sahaja apabila melihat pasangan berdua-duaan , bercumbuan , dan berpelukan di khalayak ramai. Talian Nur merupakan salah satu langkah oleh Kementerian Pembanguna Wanita dan keluarga untuk membendung masalah ini. Oleh itu , pihak terbabit haruslah memainkan peranan masing-masing untuk memastikan masalah ini dapat dibendung.

 Ibu bapa harus mengambil berat tentang anak-anak mereka. Pada masa ini , terdapat ramai ibu bapa yang mementingkan soal kerja daripada anak-anak mereka. Ibu bapa berpendapat bahawa kebendaan boleh membahagiakan keluarga tanpa perhatian dan juga kasih sayang. Namun , anak-anak akan berasakan bahawa ibu bapa tidak menyayangi mereka dan mengambil kesempatan untuk mencuri keseronokan di luar rumah. Hal ini akan mendatangkan masalah apabila anak-anak salah mencari keseronokan di luar yang boleh mendatangkan kesan negatif. Anak-anak akan berjumpa dengan rakan sebaya dan terjebak dengan pergaulan bebas.

 Kesimpulannya , kes pembuangan bayi ini harus dibendung dengan segera agar tidak menjadi barah kepada masyarakat. Para remaja merupakan asset negara kerana mereka merupakan pelapis pemimpin untuk memimpin negara. Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga telah berusaha membendung gejala ini melalui kewujudan Talian Nur. Kes pembuangan bayi yang tidak terkawal boleh menyebabkan individu tersebut akan dipandang serong oleh masyarakat. Oleh itu , semua pihak haruslah bersama-sama berganding bahu bagi memastikan negara Malaysia bebas daripada masalah kes pembuangan bayi ini.  

No comments:

Post a Comment